KUALA LUMPUR 12 Okt. – Rekaan anting-anting berlian 20 karat dari Lebanon yang setiap satunya bernilai RM650,000 antara barang kemas dipamer dan dijual pada Festival Barang Kemas Antarabangsa Malaysia (MIJ).
Pemilik Araz Gems dari Lebanon, Raja Araz berkata, setiap anting-anting yang direka mempunyai perincian dan kemasan yang tersendiri.
“Barangan kemas yang kami pamerkan adalah direka khas oleh pereka kami dan permata yang digunakan mempunyai potongan tersendiri seperti princess cut.
“Setiap rekaan mempunyai corak dan bentuk terkini yang membuatkan si pemakai tampil penuh keyakinan” kata Raja Araz.
Turut menyertai MIJ yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) bermula hari ini adalah syarikat barang kemas tempatan, Joyeria Kohinoor.
Pengarahnya, Reina Pritmani berkata, setiap barangan kemas yang dijual syarikat itu mampu menarik minat orang ramai kerana rekaan sangat unik dan menonjol.
“Bagi sesetengah orang barangan kemas tidak boleh dinilai dengan harga kerana rekaan setiap barang kemas itu amat teliti dan mampu menarik minat si pemakai untuk menggayakannya.
“Untuk festival ini kami membawa salah satu rekaan yang terbaik dari syarikat kami iaitu set rantai leher, gelang tangan dan subang dengan perincian warna yang terang dan permata berharga bernilai RM180,000,” kata Reina Pritmani.

Sebanyak 50 gerai barangan kemas dibuka sepanjang festival berlangsung sehingga 15 Oktober ini. Antara negara yang turut serta adalah Thailand, India, Itali dan Jepun. MIJ dilancarkan Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din.
Menurut Ketua Pemasaran dan Komunikasi MIJ, Sindy Kao, penyertaan baharu dari dua negara yang sangat terkenal dengan barangan kemas merupakan satu penghargaan terhadap festival itu.
“Pada tahun ini ada dua penyertaan baru dari negara Lebanon dan Itali, Barangan kemas dari kedua-dua negara ini sangat terkenal dengan rekaan mereka yang unik, elegan dan kemas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











