PORT DICKSON – Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca mendung dengan suhu sekitar 23 hingga 29 darjah celsius pada sebelah pagi hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, esok.
Jabatan itu turut meramalkan daerah berkenaan mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang Sabtu dengan suhu sekitar 30 hingga 32 darjah celsius.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood dipetik sebagai berkata memandangkan cuaca tidak menentu di kawasan Parlimen berkenaan, beliau menyeru pengundi untuk pergi beramai-ramai pada sebelah pagi berbanding petang yang kerap kali hujan.
Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari Pas.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – Bernama











