PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan menegaskan tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan bagi tujuan membantu mendapatkan peruntukan atau dana pembangunan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Menerusi satu kenyataan, guru besar-guru besar dinasihatkan supaya berhubung terus dengan kementerian untuk sebarang permohonan peruntukan dan membuat laporan polis jika didatangi mana-mana individu yang mendakwa diri mereka sebagai ejen kementerian bagi tujuan tersebut.
“Kementerian Pendidikan juga ada menerima aduan bahawa terdapat individu yang menggunakan nama dan logo Kementerian Pendidikan serta jata negara bagi tujuan memperdaya dan mempengaruhi guru besar-guru besar SJKT kononnya boleh menguruskan pemerolehan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Putrajaya semalam. – K! ONLINE











