SELAMA beberapa dekad, pasar Tsukiji, Tokyo telah menarik ramai pelancong dan cef yang sanggup beratur selama beberapa jam menunggu lelongan tuna pada awal pagi.
Bagaimanapun, minggu ini, ia akhirnya ditutup dan dipindahkan dari lokasi usang yang menjadi kawasan tumpuan itu ke sebuah kawasan baharu di timur Tokyo.
Ia dilakukan selepas proses yang panjang dan kontroversi susulan pencemaran dan penangguhan pembinaan.
Peniaga menjual hasil tangkapan terakhir mereka di pasar Tsukiji pada Sabtu lalu dan semua kedai ditutup selepas lelongan terakhir itu.
Pemindahan besar-besaran itu telah diadakan pada keesokan harinya dan perniagaan di lokasi baharu mula beroperasi pada hari ini.
Penempatan semula telah berlangsung selama beberapa tahun dan didorong oleh sebahagian pihak yang meragukan.
Peniaga di pasar berkenaan menjual 489 jenis makanan laut bernilai AS$14 juta (RM58.2 juta) setiap hari.
Pada musim panas ini, gelombang panas memaksa pemborong untuk menyimpan hasil laut yang mahal tersebut di dalam trak sejuk sehingga beberapa saat sebelum lelongan.
Lokasi baharu pasar tersebut di Toyosu menjanjikan kemudahan terkini.
Pintu khas dibina bagi membantu memastikan dewan sejuk sementara pelancong ditempatkan di sebuah galeri kaca.
Bagi sesetengah peniaga, perubahan itu mendorong ke arah persekitaran yang lebih baik berbanding keadaan di Tsukiji apabila ramai pengunjung yang mengganggu perniagaan mereka.
Bagaimanapun, langkah itu turut menerima kritikan iaitu lokasi Toyosu jauh dari pelanggan dan akan mengundang pencemaran di tempat baharu.
Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, yang telah memperjuangkan langkah itu terpaksa berulang kali mempertahankan Toyosu selepas penemuan pencemaran di tapak yang sebelum ini merupakan lokasi kilang gas.
Demonstrasi
Pihak penguat kuasa berkata, pencemaran itu telah diatasi tetapi tidak semua orang yakin dengannya.
Beberapa minggu sebelum pemindahan dibuat, beratus-ratus penunjuk perasaan melakukan demonstrasi terhadap penempatan semula tersebut dan tindakan undang-undang telah difailkan.
“Lokasi baharu di Toyosu tidak sesuai untuk pemborong. Ia bakal mengundang banyak masalah,” kata peguam Kenji Utsunomiya.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Asunaro Suetake berkata, tindakan memindahkan pasar ikan terbesar di dunia ke tapak tercemar adalah pelik terutama apabila majoriti peniaga ikan membuat tentangan.
Dibuka pada tahun 1935, Tsukiji terletak di daerah Ginza yang mempunyai beberapa restoran terkenal di Tokyo.
Jarak tersebut telah mewujudkan hubungan yang rapat antara peniaga dan cef yang mahu mencari produk berkualiti tinggi untuk restoran mereka.
Peniaga ikan bimbang mereka mungkin kehilangan pelanggan susulan pemindahan ke tapak baharu yang kurang diakses tersebut.
Penempatan semula itu juga akan mengganggu kunjungan pelancong yang sering berbaris berjam-jam untuk mendapatkan salah satu daripada 120 tempat untuk melihat lelongan tuna sebelum subuh di Tsugiji.
Setiap kali Tahun Baharu, pembeli berprofil tinggi sanggup berbelanja beratus ribu dolar untuk tuna paling mahal semasa acara lelongan pertama untuk tahun tersebut.
Ketika jualan Tahun Baharu Tsukiji yang lalu, seorang pembeli berjaya membida seekor ikan tuna berharga AS$320,000 (RM1.3 juta) walaupun jauh lebih rendah daripada rekod AS$1.8 juta (RM7.5) yang dibayar untuk seekor tuna bluefin pada tahun 2013.
Bagaimanapun, gudang yang menempatkan peniaga dan kedai serta restoran tambahan itu dijangka dirobohkan menjelang Sukan Olimpik 2020.
Selain itu, masa depan laman lokasi itu tidak dapat dipastikan walaupun Koike mencadangkan ia bakal diubah menjadi taman tema masakan bagi memperingati sejarah pasar yang berwarna-warni tersebut.
Penulis buku Food Sake Tokyo, Yukari Sakamoto yang sering berkunjung ke Tsukiji lebih dari 10 tahun berkata, masalah di tapak baharu itu telah menyebabkan peniaga kecewa.
“Mereka semua bersetuju bahawa tapak sedia ada itu perlu dinaik taraf, tetapi ia sepatutnya dibina semula di lokasi sama.
“Pemindahan yang akan berlaku dalam beberapa hari ini mengundang rasa sedih,” katanya. – AFP











