KUALA LUMPUR – Sebuah bas Rapid KL yang membawa enam penumpang terbabit dalam satu kemalangan yang melibatkan tiga lagi kenderaan lain berdekatan Taman Eko Rimba di Jalan Raja Chulan di sini pagi tadi.
Bagaimanapun kesemua penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut yang berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi.
Rapid KL dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian itu bas yang dalam perjalanan dari Hab Bas Pandan Indah menuju ke pusat bandaraya telah terlanggar pembahagi jalan sebelum melanggar tiga kenderaan lain.
“Dua pemandu kereta persendirian mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
“Rapid KL akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung insiden berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Trafik, Jalan Bandar dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Difahamkan, kejadian pada waktu puncak itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan. – K! ONLINE












