KUALA LUMPUR – Penyakit jantung atau kardiovascular (CVD) menyerang rakyat Malaysia pada usia yang lebih muda berbanding di negara jiran, demikian menurut Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof.
Merujuk kepada Laporan Kementerian Kesihatan 2017, rakyat negara ini mendapat penyakit jantung pada usia 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), negara Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2014 pula menyebut kadar kematian akibat CVD di kalangan rakyat Malaysia ialah 36 peratus. Dianggarkan 17.7 juta meninggal dunia akibat CVD pada 2015, iaitu 31 peratus daripada keseluruhan kematian CVD di dunia.
Ahmad Khairuddin mengaitkan CVD termasuk serangan jantung dan strok dengan kandungan kolesterol yang tinggi di dalam darah.
Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, dianggarkan 47.7 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kolesterol darah yang tinggi, yang dikenali juga sebagai “hypercholesterolemia”.
Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding 32.6 peratus pada 2011.
“Perubahan tingkah laku individu berkait dengan gaya hidup adalah penting. Perlu lebih banyak senaman, makan makanan sihat, elakkan alkohol dan lemak tidak tepu pelbagai ‘polyunsaturated fat’ dan kurangkan kalori.
“Meskipun rawatan termasuk rawatan perubatan statin boleh membantu mengurangkan kolesterol yang tinggi, pencegahan lazimnya lebih baik dan mengamalkan gaya hidup yang sihat penting untuk mengurangkan risiko, ” jelas beliau.
Beliau menambah beberapa kesan CVD termasuk ketidakmampuan fizikal, beban kewangan, tekanan emosi bukan sahaja yang ditanggung pesakit tetapi juga penjaga mereka.
Ahmad Khairuddin ditemui ketika pelancaran “Repatha (evolocumab)” iaitu kaedah rawatan baru untuk kolesterol jahat (LDC-C) yang tinggi dan tidak dapat dikawal, anjuran Zuellig Pharma di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Bernama











