PORT DICKSON – Tindakan Tan Sri Rafidah Aziz menyelar pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana gagal mengotakan janji dan dibelenggu manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 tidak salah, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau menghormati pandangan tersebut dan menyifatkan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu adalah seorang pemimpin yang memiliki pengalaman luas dan sering memberikan nasihat.
“Beliau (Rafidah) adalah seseorang yang memberikan nasihat yang baik, beliau mempunyai pengalaman untuk meneliti pekara-perkara seperti ini, jadi tak salah dia komen,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan mesra program Pasar Jualan Harapan Rakyat di Pernama Kem Port Dickson, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar yang pertama kali turun berkempen untuk Anwar di PRK itu sejak keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Semalam, Rafidah dilaporkan berkata beliau terkilan kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberitahunya untuk memegang portfolio Kementerian Pendidikan, namun tidak dilakukannya. – Bernama











