MELAKA – Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menyertai latihan pertamanya bersama skuad kebangsaan di Stadium Hang Tuah di sini hari ini.
Pemain berusia 27 tahun itu dilihat berlatih bersama 21 pemain lain yang dipanggil Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menggalas tugas menghadapi siri persahabatan perlawanan antarabangsa ‘A’ sebagai persediaan kempen Piala Suzuki AFF 2018.
Sebelum ini, kehadiran pemain sayap Pahang itu tidak kelihatan pada sesi latihan pertama kem latihan pusat yang diadakan di stadium sama pada Isnin dan semalam.
Ia berikutan Sumareh dikatakan masih belum mendapat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Sumareh bagaimanapun mendapat lampu hijau daripada majikannya semalam untuk mendaftar diri bersama pasukan negara seterusnya berlepas ke Colombo, malam ini untuk bertemu Sri Lanka pada Jumaat.
Tiga pemain daripada senarai asal iaitu Akram Mahinan (Kedah), Nor Hakim Hassan (Perak), dan Rawilson Batuil (Sabah) bagaimanapun terpaksa dilepaskan Cheng Hoe gara-gara mengalami kecederaan. – K! ONLINE











