KANGAR – Budaya bersukan perlu diterapkan kepada setiap pelajar sekolah demi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan atlet yang berkaliber, profesional dan disegani.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menerusi program sukan berimpak tinggi, pelajar yang berbakat boleh diketengahkan ke peringkat tinggi pada masa depan.
“Budaya bersukan juga mampu memberi pendedahan asas kepada murid terhadap amalan gaya hidup yang aktif dan sihat selain menghindari mereka melakukan perbuatan atau aktiviti yang tidak berfaedah dan negatif.
“Selain itu, aktiviti ini mampu melahirkan generasi belia yang seimbang dari segi intelek, rohani dan emosi.
“Malah, budaya sukan dalam kalangan pelajar, remaja dan golongan belia secara tidak langsung menerapkan unsur kerjasama, toleransi, pengorbanan dan semangat berpasukan,” titah baginda di Stadium Tuanku Syed Putra di sini petang semalam.
Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat hadir merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah 1Murid 1Sukan Kementerian Pendidikan dan Yayasan Bank Rakyat.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail. – K! ONLINE











