NAMANYA seakan hilang daripada radar menyebabkan ramai menyangka pelantun lagu Mengapa Harus Cinta, Vince Chong telah meletakkan noktah kepada kerjaya seninya.
Kata penyanyi berusia 39 tahun itu, dia lebih senang memberi tumpuan kepada aktiviti belakang tabir dan keluarga sebelum kembali bersedia meneruskan semula aktiviti nyanyian.
Pun begitu, Vince baru-baru ini muncul menerusi sebuah telefilem di saluran ntv7 bertajuk Dilema di samping pelakon Izzue Islam dan Scha Al-Yahya.
Pada masa sama, Vince juga sibuk melibatkan diri dengan aktiviti amal bagi membantu golongan kanak-kanak yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia bersama aktres Ida Nerina, sekali gus menggelarkan diri mereka sebagai 7voicesyck.
Tidak hanya itu, Vince turut menghasilkan sebuah lagu bersama kanak-kanak berkenaan bertajuk For Bigger Picture sebagai tanda sokongan kepada mereka.
KOSMO!: Apakah perkembangan terkini Vince Chong memandangkan anda dilihat sekarang tidak aktif dengan dunia seni?
VINCE CHONG: Buat masa sekarang saya lebih banyak menyibukkan diri dengan melakukan kerja belakang tabir seperti menghasilkan lagu selain memberi tumpuan kepada keluarga, apatah lagi dua cahaya mata masih kecil.
Kini saya sibuk melibatkan diri membantu golongan kanak-kanak yang lahir di Malaysia, namun tidak mempunyai sijil kelahiran mahupun kad pengenalan diri. Saya bersama pelakon, Ida Nerina mewujudkan sebuah kumpulan yang digelar sebagai 7voicesyck bagi membantu mereka.
Bolehkah anda jelaskan apakah yang kalian lakukan menerusi 7voicesyck?
Kami memberi peluang kepada golongan kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan muzik dengan mengadakan bengkel kesenian seperti nyanyian dan persembahan teater. Dalam pada itu, saya turut menghasilkan sebuah lagu bersama mereka bertajuk For Bigger Picture, sekali gus menggambarkan mengenai perasaan apatah lagi rata-rata mereka berusia lingkungan 11 hingga 18 tahun.
Selain daripada itu, apakah aktiviti seni yang sedang anda lakukan sekarang?
Saya kini dalam proses penghasilan sebuah single baharu. Masih dalam peringkat perbincangan, namun saya mengharapkan ia akan mengubat kerinduan peminat apatah lagi lagu ini akan menjadi jawapan, sekali gus kesinambungan kepada single Mengapa Harus Cinta sekitar tahun 2004.
Pada masa sama, saya juga dalam proses pembikinan sebuah filem yang diharapkan akan mencetuskan kelainan terutamanya kepada golongan remaja. Masih dalam proses perbincangan, saya mengharapkan awal tahun depan filem berkenaan akan memulakan sesi penggambaran. Lebih menarik, ini merupakan skrip filem pertama yang saya hasilkan.
Mengapakah mengambil masa yang lama untuk membuat kemunculan semula dengan single baharu termasuk filem tersebut?
Pada saya, tiada istilah masa yang sesuai kerana inspirasi itu kurniaan Tuhan yang berlaku secara tiba-tiba. Selain itu, secara peribadi saya menghasilkan lagu bukan untuk menjadi popular atau hit tetapi ia merupakan idea dan refleksi emosi ketika itu. Mungkin sekarang baru saya mempunyai ilham untuk menghasilkan lagu dan filem tersebut.
Saya sendiri tidak meletakkan sebarang perancangan untuk melakukan apa yang perlu mahupun tidak. Ini kerana takdir hidup ditentukan oleh Tuhan dan bukan pilihan kita sama ada menentukan ingin gagal mahupun berjaya.
Pada saya, sekiranya peluang itu telah ada di depan mata, tidak salah untuk mencuba dan meneruskan kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak. Tambahan, peluang itu juga belum tentu akan ada lagi pada masa akan datang.
Anda mengatakan memberi fokus kepada keluarga, bolehkah kongsikan mengenai perkara tersebut?
Saya bersyukur apabila isteri, Fiona Edward memberi sokongan penuh terhadap kerjaya seni saya. Sejujurnya, saya agak sibuk memandangkan kami menjaga sendiri kedua-dua anak kami iaitu Eva Haidi, 3, dan Tyler James, 1. Namun, kadangkala kami ada mendapatkan khidmat penjaga sementara sekiranya kami berdua mempunyai urusan lain.
Menjadi bapa merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan saya sendiri berasa teruja melihat kedua-duanya mempunyai kecenderungan dalam bidang muzik. Kadangkala mereka akan berhenti bermain dengan alat permainan dan memberi tumpuan saat saya bermain piano.
Adakah anda memberi galakkan kepada mereka untuk menceburi bidang seni apabila dewasa kelak?
Saya pastinya berasa gembira apabila melihat anak-anak turut mempunyai minat yang sama dalam bidang seni. Namun, saya ingin mereka membesar sebagai kanak-kanak biasa dan bukan seorang selebriti. Sejujurnya, saya gemar membawa mereka pulang ke kampung halaman isteri di Keningau, Sabah agar lebih dekat dengan alam semula jadi.
Kehidupan kota membuatkan mereka jauh daripada keindahan flora dan fauna. Saya juga tidak menggalakkan anak-anak menggunakan telefon pintar terutamanya apabila keluar bersama. Sebaliknya, saya lebih suka memberikan mereka kertas untuk melukis sebagai alternatif untuk mengalih perhatian.











