PRK Port Dickson: Polis beri amaran tunda kenderaan ganggu lalu lintas  - Utusan Malaysia

PRK Port Dickson: Polis beri amaran tunda kenderaan ganggu lalu lintas 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan menunda kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas sepanjang tempoh kempen dan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang bakal berlangsung di sini pada 13 Oktober ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, polis Port Dickson telah menyediakan trak tunda untuk tujuan berkenaan.

“Kali ini ada pusat mengundi yang terletak betul-betul bersebelahan jalan utama, jadi kami mengambil tindakan proaktif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau tuan- tuan dapati kenderaan tidak ada di tempat yang diletakkan sebelum ini, boleh datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mengambil kenderaan. Saman sebanyak RM300,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson sebentar tadi.

Terdahulu, beliau meninjau proses pembuangan undi awal dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK Parlimen Port Dickson di situ.

Lebih 500 pegawai dan anggota polis dijangka mengundi hari ini dan sebanyak lima saluran merangkumi tiga bangunan kekal dan dua khemah disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Faisal menjelaskan, sebanyak 60 permit telah dikeluarkan untuk ceramah sepanjang tempoh kempen PRK Port Dickson setakat ini dan tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Dalam tempoh berkenaan sebanyak tiga kes dibuka dan yang terbaharu berkenaan laporan yang dibuat seorang calon bebas disiasat dibawah Seksyen 10(a) Akta Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya.

Semalam, calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong membuat laporan polis berhubung kempen calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa melanggar peraturan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini