JEDDAH 8 Okt. – Tujuh lelaki dikenakan sebatan 1,500 kali seorang dan hukuman penjara kesemuanya 80 tahun apabila bertindak menyerang seorang anggota polis trafik dan seorang pengawal keselamatan, dalam satu kejadian di sini tahun lalu.
Saudi Gazette melaporkan sebuah mahkamah jenayah Arab Saudi menjatuhi hukuman berkenaan ke atas seorang remaja tempatan berusia 18 tahun, seorang warga Nigeria, dua warga Yemen dan tiga warga Chad yang dilaksanakan di sebuah dataran awam di Jeddah, Jumaat lalu
Hukuman sebatan itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan jarak seminggu antara satu sama lain manakala fasa pertama hukuman tersebut dilaksanakan di lokasi sama serangan itu dilakukan.
Dalam kejadian yang berlaku pada Mac 2017, kumpulan pemuda menunggang kenderaan lasak All-Terrain Vehicle menyerang anggota polis trafik selepas anggota penguatkuasa berkenaan menghalang tertuduh daripada memasuki sebuah kawasan rekreasi di Corniche.
Semasa seorang pengawal keselamatan yang melihat kejadian itu cuba membantu, dia turut diserang kumpulan lelaki berkenaan.
Kesemua suspek kemudiannya diberkas dan dibicarakan.
Rakaman video kejadian itu yang diambil seorang saksi dari sebuah pangsapuri kemudiannya tular di media sosial.
Klip itu menunjukkan kumpulan lelaki berkenaan cuba melanggar anggota polis terbabit ala samseng.
Anggota itu yang cedera kemudiannya diberikan rawatan di sebuah hospital tempatan manakala pengawal itu tidak cedera walaupun dipukul.
Insiden itu kemudiannya mengejutkan Arab Saudi dan timbul gesaan supaya pelaku dikenakan hukuman berat.











