Motif hasil pengaruh alam semula jadi - Utusan Malaysia

Motif hasil pengaruh alam semula jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPANDUKAN kertas graf yang dilukis dengan pelbagai motif seperti bunga kapas, Sirongan Sulaiman, 60, tekun membuat kiraan pada lembaran benang yang disusun pada alat menenun di hadapannya.

Ada ketikanya, perhitungan wanita etnik Iranun itu tersasar, sekali gus menyebabkan jalinan benang tidak membentuk corak seperti yang dikehendakinya.

Ia akan dibuka semula dan proses sama akan diulang-ulang sehingga kain tenunannya siap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengimbau momen sewaktu mula-mula mempelajari bidang tenunan secara serius dua tahun lalu, ibu kepada lapan cahaya mata berusia antara 37 hingga 16 tahun itu tersenyum sendiri.

Sirongan menjelaskan, dia tidak berkesempatan mendalami seni warisan tenunan yang menjadi kebanggaan suku kaumnya sejak turun-temurun pada usia muda kerana mahu memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu kemudiannya meneruskan kerjaya sebagai guru mata pelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Kebangsaan St. Patrick Tawau, Sabah selepas tamat pengajian pada peringkat maktab.

“Menenun ini perlu tahan hati. Kalau silap buka, kalau putus (benang) sambung. Saya tidak pernah berasa terlewat untuk belajar. Ini perusahaan keluarga. Saya gembira melakukannya bersama adik-beradik dan sepupu yang biasanya akan datang menenun dari pukul 8 pagi sampai 5 petang.

“Kalau penat kami berhenti. Tiada tekanan untuk buat dengan cepat. Cuma ia perlu konsentrasi tinggi. Saya juga sudah tidak menenun berpandukan kepada kotak kertas graf seperti dahulu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di bengkel yang terletak di Kampung Rampaian Laut yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Kota Belud, Sabah.

Dalam hal ini, Pandian Sulaiman, 67, bertanggungjawab membimbing Sirongan yang merupakan adiknya sehingga mahir. Beliau sendiri mula didedahkan dengan ilmu tenunan pada usia 10 tahun.

Adiguru Kraf Sambitan itu menjelaskan, terdapat 11 jenis kain tenunan yang dihasilkan di bengkel itu antaranya, dastar, sambitan atau disebut yang sebagai siambitan, mugah, baraguru, tapak sila dan ampik, pajuntai serta mandara karu.

Kreativiti

Pengiktirafan yang diterimanya berdasarkan usaha beliau dalam mencipta corak tenunan sambitan melalui kreativiti sendiri yang diilhamkan daripada alam semula jadi selain memelihara warisan tenunan asli tekstil tersebut.

Keistimewaan kain tenun sambitan ialah kedua-dua belah bahagian luar dan dalamnya boleh dipakai tidak seperti kain biasa yang selalunya mempunyai corak terbalik. Ia boleh dibuat baju, selendang, seluar dan kain.

Bengkel yang diusahakan keluarga Pandian merupakan satu-satunya tempat pembuatan kain sambitan secara komersial.

Ia dibuat mengikut tempahan dan berharga ribuan ringgit kerana proses membuatnya mengambil masa sehingga sebulan atau lebih lama.

Walaupun kain tersebut dihasilkan kaum Iranun, ia digunakan secara meluas oleh pelbagai etnik lain di Sabah dan dijadikan pakaian tradisional mereka. Masyarakat Bajau misalnya menggunakan warna latar belakang hitam dan merah.

Perbezaan ketara pada jenis-jenis tenunan yang dihasilkan ialah saiz, jalinan corak, paten jalur dan teknik tenunan yang digunakan.

Buah kapas

Menurutnya, dahulu, benang tenun diperbuat daripada buah kapas. Sewaktu usianya sekitar enam tahun, beliau masih ingat arwah neneknya memproses buah kapas dengan cara menariknya sehingga menjadi benang sebelum proses mewarna dilakukan. Beliau sendiri tidak pernah melakukannya.

Katanya, kini benang yang telah siap dijual digunakan di pasaran kerana lebih memudahkan kerja.

Menggunakan sejenis alat dipanggil bekara, benang-benang dilerai satu persatu sebelum lebar dan panjang kain yang ditenun ditentukan melalui proses yang dinamakan sebagai pangsud.

Sebelum proses menenun sebenar dimulakan, benang itu perlu melalui beberapa peringkat lain yang dinamakan penunggit (memasukkan benang ke bahagian bergigi alat tenun) serta bibitan (perbuatan seperti mengait atau melilit benang yang turut melibatkan benang nilon berwarna putih).

Antara corak yang digunakan adalah motif bunga kapas, tuara (berbentuk bunga), sumping akundur (sejenis daun), unsud (bentuk pucuk rebung), ombak, bunga teratai dan motif siku-siku yang diilhamkan daripada bentuk siku manusia.

“Penggunaan motif ini berkait rapat dengan kehidupan masyarakat yang bertani dan menangkap ikan di laut.

“Ia dibuat secara spontan tanpa dilakar terlebih dahulu pada kertas. Rekaan corak ini aku fahamkan dan hafal dalam kepala kerana saya tidak pandai melukis pada kertas.

“Saya tidak pernah ke sekolah. Saya hanya belajar di kelas dewasa. Saya tahu membaca jawi dan tulisan rumi. Menulis saya tidak mahir.

“Seandainya saya sudah tiada kelak, corak rekaan ini mungkin akan hilang begitu sahaja kerana buat masa sekarang tiada buku yang mendokumentasikan perincian rekaan kain tersebut.

Rujukan

“Justeru saya mengingatkan kepada murid-murid supaya mereka membuat catatan pada buku agar ia boleh menjadi rujukan generasi akan datang,” tuturnya sambil menunjukkan sebidang kain dastar berusia 100 tahun yang dihasilkan oleh nenek moyangnya.

Hasil kerja tangan Pandian dipamerkan di seluruh negara, malah beliau pernah menyertai pameran kraf tangan di kota London, England pada tahun 2007 bersama Kraftangan Malaysia.

Tenunan yang paling banyak dihasilkan ialah dastar. Ia berbentuk segi empat tepat bersaiz 38 inci (96.52 sentimeter) yang dipakai pada pinggang atau dibuat tanjak.

Dalam pada itu, Kraftangan Malaysia turut membuat pembaharuan dalam mempopularkan tenunan songket dastar supaya ia boleh dipakai sebagai kain sarung dan samping hingga mendapat permintaan daripada peminat kain dastar di Semenanjung.

“Pada zaman muda, saya hanya memerlukan dua hari untuk menyiapkan sekeping dastar berbanding seminggu pada masa sekarang.

“Ia berharga dalam lingkungan RM300 sehingga ribuan ringgit bergantung kepada kerumitan corak atau jenis benang yang digunakan sama ada biasa, emas atau perak.

“Dahulu, ia dipakai orang kenamaan atau golongan bangsawan. Sekarang sudah bebas, asal punya wang dan mampu membeli sesiapa sahaja boleh menggunakannya,” ujarnya sambil menunjukkan sehelai kain dastar yang dijual pada harga RM1,600.

Warisan tenunan menjadi kebanggaan masyarakat Iranun yang turut digunakan sebagai pakaian tradisional etnik lain di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini