Lima agensi perumahan ditempatkan di bawah KPKT - Zuraida - Utusan Malaysia

Lima agensi perumahan ditempatkan di bawah KPKT – Zuraida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR,  8 Okt  (Bernama) — Lima entiti perumahan telah dikenal pasti untuk ditempatkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyelia dan menyelaras pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata entiti terbabit ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), UDA Holdings Berhad, Syarikat  Perumahan  Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)

“Rancangan untuk meletakkan agensi terbabit di bawah kementerian saya akan dimasukkan  dalam Dasar Perumahan Negara yang dijangka dilancarkan Disember ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini akan membolehkan pendekatan bersepadu selain mengelakkan pertindihan projek perumahan mampu milik. Ia juga akan memastikan pendekatan bersesuaian untuk pemaju swasta menerusi garis panduan dan penglibatan yang tepat berhubung  perumahan mampu milik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zuraida ditemui selepas menyertai Dialog Terbuka Industri-Kerajaan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

Sementara itu, Zuraida berkata kerajaan negeri perlu  menyerahkan cadangan  tanah  mereka  untuk  projek perumahan kos rendah pada  penghujung bulan ini.

“Kerajaan negeri mesti mengenal pasti tanah untuk kita membina rumah kos rendah  menjelang akhir bulan ini. Setakat ini hanya Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perak telah menyerahkan cadangan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata tanah yang dicadangkan itu mesti berkeluasan satu hingga empat hektar. — BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini