PUTRAJAYA 8 Okt. – Kementerian Kewangan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memutuskan untuk mengurangkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi alat penyapu lantai daripada 10 peratus kepada lima peratus.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengurangan cukai itu adalah lebih rendah daripada kadar enam peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap alat penyapu lantai.
“Kementerian Kewangan berharap peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan semata-mata kerana SST. Peniaga mesti ketahui bahawa SST adalah cukai seperingkat di mana cukai jualan hanya dikenakan sekali sahaja ke atas harga pengimportan atau pengilang.
Berita berkaitan:
“Manakala GST adalah cukai berperingkat dan cukai yang pengguna kena bayar adalah berdasarkan kepada harga peruncit yang jauh lebih tinggi daripada harga pengimportan atau pengilang yang membayar SST,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Guan Eng berkata, kaunter pertanyaan SST yang dibuka di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya sejak Selasa lalu mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan peniaga.
Beliau berkata, lebih 1,300 peniaga telah mengunjungi 10 kiosk and 12 Kaunter Pertanyaan SST berkenaan yang beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Kata beliau, dua pegawai khas dari Pejabat Menteri Kewangan bersama dengan pegawai kastam telah berjaya menangani sebahagian besar daripada aduan, masalah dan pertanyaan berkenaan perlaksanaan SST.
Tambahnya, perkara yang melibatkan dasar SST yang tidak dapat diselesaikan di peringkat kastam telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan selanjutnya.
“Memandangkan perkhidmatan tersebut telah mendapat sambutan yang begitu hangat daripada kalangan peniaga maka operasi kaunter pertanyaan SST yang sedemikian akan diteruskan untuk minggu ini dan selepasnya, sehingga segala kekeliruan tentang perlaksanaan SST dapat dikurangkan kepada tahap yang memuaskan,” katanya.
Dalam pada itu jelas Guan Eng, beberapa penambahbaikkan akan dijalankan oleh kastam pada bulan ini agar dapat memudahkan peniaga dan memastikan SST tidak akan meningkatkan kos yang akhirnya akan ditanggung oleh pengguna.
“Perlu diingatkan bahawa kerajaan hanya dijangka mengutip RM21 bilion daripada SST berbanding dengan RM44 bilion di bawah GST bagi 2019. Rakyat seharusnya menerima menfaat pengurangan kutipan cukai sebanyak RM23 bilion ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











