11 GRO warga Vietnam ditahan di pusat karaoke di ladang kelapa sawit - Utusan Malaysia

11 GRO warga Vietnam ditahan di pusat karaoke di ladang kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Jabatan Imigresen Perak menahan 11 wanita warga Vietnam dan dua lelaki tempatan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dan menawarkan perkhidmatan seks dalam serbuan Ops Mega 3.0 di sebuah restoran di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Cina dekat Sitiawan malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 12 malam hingga 2 pagi itu, restoran itu turut menawarkan perkhidmatan karaoke dan warga Vietnam itu dipercayai menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) di dalam 15 bilik yang disediakan.

Pengarah Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, hasil risikan selama dua minggu, pihaknya percaya restoran dua tingkat itu turut menyediakan perkhidmatan seks berdasarkan penemuan kondom di dalam bilik karaoke.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, sewaktu serbuan dijalankan, seramai 15 orang pelanggan warga tempatan turut berada di lokasi itu namun, mereka dibebaskan selepas disoal-siasat.

“Kesemua 11 wanita itu berusia dalam lingkungan 15 hingga 42 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di dalam premis tidak berlesen itu.

“Selain itu, kita turut menahan dua orang lelaki yang dipercayai melakukan kesalahan melindungi kesemua wanita warga Vietnam itu dan mereka disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Menurut Kamaluddin, daripada 11 tangkapan, seorang daripada mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, dua wanita menyalahguna pas lawatan manakala lapan lagi tiada dokumen perjalanan yang sah.

Beliau menambah, premis itu menawarkan perkhidmatan karaoke sebanyak RM300 untuk setiap bilik dengan hidangan 12 botol minuman keras dan bayaran tambahan akan dicaj untuk perkhidmatan seks bersama GRO warga Vietnam itu.

Ujarnya, 11 warga Vietnam itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam pada itu, kata Kamaluddin, dalam operasi yang dianggotai seramai 29 orang anggota itu, Jabatan Imigresen turut menyerbu sebuah pusat karaoke dan rumah urut di Sitiawan dan sebuah rumah urut di Seri Manjung.

Jelasnya, dalam serbuan di empat buah premis itu, seramai 66 orang telah diperiksa dan hanya 31 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Secara keseluruhan, kita telah menahan seramai 26 orang warga Vietnam yang tinggal lebih masa, menyalahguna pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, lima orang warga tempatan itu turut ditahan yang dipercayai majikan mereka ditahan atas kesalahan melindungi warga asing tanpa pas yang sah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini