KANGAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis mendedahkan kegiatan penyeludupan daun ketum, minyak masak dan tepung gandum bersubsidi turut melibatkan tukar barang (sistem barter).
Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kegiatan itu telah lama wujud.
“Saya difahamkan, penyeludup tempatan akan menyeludup secara haram daun ketum ke Thailand untuk ditukarkan dengan minyak masak dan tepung gandum bersubsidi.
“Sementara, penyeludup dari Thailand akan memperoleh daun ketum yang mempunyai pasaran yang luas di negara itu,” katanya ringkas pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Perlis anjuran bersama Aksem Perlis di Dewan Warisan di sini sebentar tadi.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man merasmikan majlis yang diadakan secara bulanan itu.
Difahamkan, harga daun ketum RM30 sekilogram bagi pasaran negara ini namun boleh mencecah RM100 bagi satu kilogram di Thailand.
Harga minyak masak peket sekilogram bersubsidi RM2.50 di negara ini berbanding RM4.20 di Thailand.
Sementara itu, harga tepung gandum sekilogram RM1.35 di negara ini berbanding RM3.50 di Thailand.
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Basri berkata, pihaknya sentiasa memastikan bekalan barang seludup tidak boleh melepasi sempadan negara dengan mudah dengan kawalan yang bersifat komprehensif.
“Setakat September tahun ini, Aksem telah merampas nilai keseluruhan barangan seludup seperti arak, rokok putih dan daun ketum bernilai RM15.1 juta.
“Bagi keseluruhan 12 bulan pada 2017 kita anggaran rampasan sebanyak RM11.7 juta.
“Saya yakin jumlah rampasan pada tahun ini akan meningkat kerana masih ada baki lebih tiga bulan,” katanya. – K! ONLINE











