Perkim santuni masyarakat Pulau Ketam - Utusan Malaysia

Perkim santuni masyarakat Pulau Ketam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLU menyeberangi lautan bukan halangan bagi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk menyantuni masyarakat memerlukan di Pulau Ketam, Klang, Selangor terutama golongan saudara baharu.

Ia menerusi Program Ziarah Masyarakat Pulau Ketam anjuran bersama Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan (PBWP) dan Perkim cawangan Kepong Barat, baru-baru ini.

Pengerusi Biro Kebajikan PBWP, Dziaruddin L. Ab. Rahman berkata, ziarah itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan dan keprihatinan organisasi Islam kepada golongan miskin, ibu tunggal, sakit, mualaf serta orang kurang upaya di pulau itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai umat Islam, kita mestilah prihatin terhadap golongan memerlukan dengan menziarahi dan mengenal pasti keadaan mereka. Kita harap mesej keprihatinan ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya budaya kebajikan, di samping memperoleh ganjaran daripada Allah.

“Perkim berusaha mendapatkan bantuan dan sumbangan agar nasib mereka terbela,” katanya.

Yang turut menyertai program itu ialah Pengerusi Perkim Ehsan, Mohd. Noor Hamim Suntong; Wanita Perkim, Datin Mawanchik Che Jais; Pengerusi Briged Dakwah PBWP, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz; Pegawai Dakwah PBWP, Mohd. Jogi Panjaitan Maruli; Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Ketam, Datuk Cha Keng Lee; Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Ketam, Lim Yak Lee dan Ketua Polis Balai Polis Pulau Ketam, Jamil Murad.

Pada program itu, Dziaruddin turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas termasuk beras, tepung gandum, gula, minyak dan teh kepada 33 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf miskin dan mualaf.

Terdahulu, rombongan Perkim berkumpul di Terminal Pelabuhan Klang Selatan menuju ke Pulau Ketam dengan menaiki feri selama 50 minit sambil menikmati pemandangan keindahan hutan bakau, bot nelayan, penempatan sangkar ikan dan perkampungan nelayan sepanjang perjalanan.

ZIARAH ATM

Pada kunjungan itu, rombongan Perkim turut dan beramah mesra bersama pelajar Akademi Tahfiz Mandarin (ATM) diketuai mudirnya, Ahmad Afiq Jamuliddin yang terletak di tengah-tengah perkampungan penduduk majoriti berbangsa Tionghoa itu.

Ahmad Afiq berkata, sebahagian pelajar akademi itu bukan saja berupaya menghafaz ayat al-Quran malah fasih bertutur bahasa Mandarin.

“Selama dua tahun ATM beroperasi, terdapat pelajar yang berjaya menghafaz sehingga 20 juzuk al-Quran. Kelebihan berada di Pulau Ketam ialah pelajar dapat mempraktikkan bahasa ibunda penduduk setempat iaitu bahasa Cina,” ujarnya.

“Pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun berasal dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan. Mereka dinilai dari segi kebolehan membaca al-Quran, akhlak, kecergasan fizikal dan kecerdasan mental sebelum dibenarkan menyertai ATM,” tambahnya.

Ahmad Afiq berkata, pihaknya turut bercadang menaik taraf pusat tahfiz itu pada masa hadapan dengan mewujudkan ATM Muslimat dan Tahfiz Tamil.

Pada kunjungan itu, Dziaruddin berkesempatan menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,500 kepada Afiq bagi pengurusan ATM dan RM500 bagi pengurusan Balai Islam Pulau Ketam yang disampaikan kepada Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Ketam merangkap Pengerusi Balai Islam Pulau Ketam, Syukri Zakaria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini