Akta Hasutan 1948 masih ada, diguna pakai - Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Akta Hasutan 1948 masih ada, diguna pakai – Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Akta Hasutan 1948 masih ada dan diguna pakai kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan masa untuk memansuhkannya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, akta tersebut perlu dibawa ke Dewan Rakyat terlebih dahulu, justeru dalam tempoh tersebut undang-undang tersebut masih diguna pakai.

“Akta Hasutan masih ada, memansuhkan undang-undang itu mengambil masa dan perlu dibawa ke Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam tempoh tersebut, undang-undang itu terus digunakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan buku Tun Ismail – Paragon of Trust and Integrity, di Auditorium Sasana Kijang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz.


Janji ke-27 PH menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggariskan beberapa akta untuk dihapuskan antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2014.


Dalam pada itu, Khamis lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata kerajaan PH komited menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Jelas Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH, beliau tidak mahu berasa terganggu malah terbuka dengan sebarang kritikan daripada mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.

“Saya cuba tidak mengambil tahu mengenai perkara ini. Sesiapa yang ingin menggelarkan saya dengan pelbagai nama adalah dialu-alukan,” ujar beliau.

Tambah Dr. Mahathir, Peguam Negara, Tommy Thomas akan meneliti kesemua undang-undang baharu termasuk peruntukan yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan PH tidak dapat menetapkan tempoh yang tepat untuk melaksanakan proses pemansuhan dan pindaan undang-undang.

“Banyak undang-undang yang perlu dimansuh manakala beberapa peruntukan harus dipinda. Jika melibatkan Perlembagaan Persekutuan, kita perlu majoriti dua pertiga tapi kita tidak memilikinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini