BEIJING 7 Okt. – Seramai tiga orang dilaporkan maut manakala 15 lagi cedera selepas seorang lelaki menikam orang ramai secara rambang dan memandu sebuah kereta lalu melanggar pejalan kaki di wilayah Zhejiang.
Suspek berusia 42 tahun itu dikatakan bertengkar dengan seorang rakan sebelum kejadian.
Gara-gara tidak berpuas hati, suspek dikenali sebagai Wang membeli sebuah pisau lalu menikam ibu kepada rakannya dan melarikan diri.
Wang kemudiannya mencuri sebuah kereta dan melanggar penunggang basikal sebelum kenderaan itu terbakar.
Lelaki itu kemudiannya melarikan diri, menikam dua pejalan kaki, mencuri sebuah lagi kereta dan melanggar sembilan orang.
Selepas itu, Wang melompat keluar dari kereta terbabit dan menikam lima orang lagi.
Polis berkata, insiden itu masih disiasat. – AFP











