SEBELUM pelakon Syafie Naswip mewarnai hidup Aishah Azman sebagai kekasih hatinya, aktres ini mengaku ada beberapa halangan yang dilalui, menguji kesabaran dan kentalnya cinta.
Paling utama ialah bagaimana dia perlu berdepan dengan penerimaan keluarga terutamanya si abang, pelakon Afiq Muiz yang cukup protektif atau melindungi.
Layaklah Afiq bersikap begitu, apatah lagi Aishah merupakan adik bongsu. Maka, sikap si abang mahu meindungi adik tentunya tiada bersempadan.
“Agak kekok juga buat ibu dan abang untuk menerima Syafie pada awalnya. Macam Afiq, dengan mana-mana lelaki saya berkawan sebelum ini pun, dia begitu.
“Dia kan jadi banyak tanya, itu dan ini tidak boleh walaupun tidak pernah jumpa dengan lelaki itu. Bayangkan, tunjuk gambar pun dia kata sudah tidak berkenan,” kata Aishah.
“Respons yang sama berlaku juga pada Syafie. Tetapi bila melihat kesungguhannya serius dengan saya, mungkin secara perlahan-lahan abang kini sudah boleh menerima kehadirannya,” kata Aishah.
Gembira dengan keterbukaan hati keluarga, Aishah masih menjaga batas hubungan meski rasa cinta antara dua jiwa sedang membara.
Tidak gemar meliar keluar tanpa sebarang hala tuju, Aishah berasa beruntung kerana masih menetap bersama keluarganya sekali gus menimbulkan rasa selamat.
“Sudah berusia 22 tahun pun, saya masih dilarang balik lewat malam. Sudah terbiasa begitu, jadi kalau keluar dengan Syafie pun, kami tidak akan lupa, kena balik rumah cepat.
“Jadi tidak timbul isu saya buat perkara tidak elok, Syafie juga menghormati saya dan keluarga.
“Saya pun tak mahu terjebak dengan sebarang perkara tidak elok yang kelak akan memusnahkan kerjaya sendiri, begitu juga Syafie,” tegasnya.
Sama seperti keluarganya, dia juga tidak mudah diterima masuk ke dalam keluarga teman lelakinya itu terutama di mata ibunya, Noorsiah Ahmad, 53.
Pernah beberapa wanita dibawa bertemu dengan ibunya, namun menurut apa yang diceritakan Syafie kepada Aishah, sukar untuk menambat hati bakal ibu mentuanya itu.
“Bila dia bawa saya berjumpa ibunya, entah mengapa kami boleh pula serasi.
“Begitu juga dengan Syafie. Ibu saya nampaknya dah sayang sangat kepadanya sehingga saya pun naik cemburu dibuatnya,” seloroh Aishah lagi.
MANIS BERDUA
Berbanding sesetengah pasangan selebriti lain, Aishah dan Syafie kelihatan selesa untuk berkongsi saat manis mereka berdua di media sosial tanpa rasa ragu.
Jika ada artis lain memilih untuk menyembunyikan kisah cinta dan berdolak dalih apabila ditanya, tiada apa yang perlu dibimbangkan andai hubungan itu jelas haluannya.
“Saya mengaku setelah tiga tahun bersama dia. Ini adalah tahun pertama kami bersetuju untuk sama-sama berkongsi gambar atau video berdua dengan peminat di media sosial.
“Nak berkongsi pun kami sama-sama akan bincang dahulu. Bukan soal takut orang mengata, cuma mahu Instagram kami nampak cantik dan kemas sahaja, kononnya nampak manis lah,” katanya.
Bersyukur rata-rata peminat tidak putus-putus mengirim doa agar mereka segera disatukan di jenjang pelamin, Aishah bagaimanapun tidak menafikan masih ada yang mencuba nasib mengurat.
“Ramai juga lelaki yang cuba mesej di media sosial, nak berkenalan , bercinta dan ajak kahwin pun ada. Saya dengan Syafie memang tiada rahsia jadi semua itu diceritakan padanya.
“Dia cuma tergelak sahajalah sebab tahu saya tidak akan melayan. Pelik juga dengan orang zaman sekarang, sudah tahu kita ada pasangan masih mahu mengurat,” katanya mahu berhati-hati.
Dalam pada itu, Aishah yang kini popular dengan drama berjudul Isteri Dalam Sangkar siaran Unifi TV meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujang di usia 25 tahun.
Mahu berbakti pada ibunya, Aishah merancang berusaha mencari rezeki lebih untuk membawa orang tuanya itu menunaikan umrah dan haji termasuk membelikan rumah.











