JANGAN gunakan gambar Rafidah Ibrahim! Jangan sesekali eksploitasi gambar semata-mata mahu mencari laba dengan cara yang salah. Apa pula yang berlaku? Apa sebab pelakon dan penyanyi ini berang?
“Saya risau gambar saya disalah guna oleh pihak lain memandangkan baru-baru ini saya ada bertemu mereka. Bila disiasat mereka sebenarnya menjalankan skim MLM (sistem piramid).
“Ingatkan pertemuan tersebut bertujuan membincangkan hal bisnes tetapi lain pula yang jadi. Sebelum gambar saya disalah guna saya beri peringatan kepada semua awal-awal,” kata wanita yang mesra disapa dengan panggilan Fida ini lagi.
Jelasnya, dia ada bertemu dengan pihak kedua yang sudah dikenali sejak beberapa tahun yang lalu. Namun hasil pertemuan tersebut dia diajak menyertai skim yang diusahakan oleh pasangan suami isteri ini.
Meskipun pada peringkat awal mereka menafikan itu merupakan skim MLM tetapi kata Fida, dia sudah dapat menghidu taktik tersebut.
“Apa yang saya faham syarikat tersebut tidak mempunyai lesen untuk mengutip duit orang ramai. Mereka juga menggunakan cara easy money yang sangat mencurigakan.
“Sebaik sahaja habis bertemu, kami bergambar. Sebab itu saya risau gambar saya disalah guna untuk mengutip duit orang ramai. Nanti saya juga dipersalahkan,” tegasnya.
Ditanya adakah dia mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak tersebut, kata penyanyi yang popular dengan lagu Apo Kona Jang ini lagi mereka pernah berurusan dalam bisnes kecantikan sebelum ini.
Syarikatnya membekalkan serum kepada pihak tersebut namun mereka masih belum melunaskan hutang tersebut. Bila disiasat individu tersebut juga mempunyai jumlah hutang yang tinggi.
“Saya ingatkan mereka bertemu untuk menguruskan perniagaan yang tertangguh tetapi sebaliknya diajak menyertai skim MLM baharu. Tak tahulah nak cakap macam mana lagi.
“Mereka ‘petik’ semua nama menteri dan orang besar yang lain semata-mata nak meyakinkan saya. Tak mengapalah, saya tak berminat,” tegasnya.











