KUALA LUMPUR 10 Okt. – Bintang muda negara, Lee Zii Jia menenggelamkan sorakan ribuan penonton tuan rumah di Taipei Arena hari ini apabila menumbangkan pilihan utama yang juga pemain No. 4 dunia, Chou Tien-chen untuk melangkah ke perlawanan akhir kejohanan badminton Terbuka Taiwan.
Pemain kelahiran Kedah berusia 20 tahun itu, yang dilabel oleh jurulatih perseorangan kebangsaan, Datuk Misbun Sidek sebagai ‘calon pengganti Datuk Lee Chong Wei’ menghampiri kejuaraan besar pertamanya selepas menang 17-21, 21-14, 24-22 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 80 minit.
Kemenangan ini membolehkan Zii Jia menebus kekalahan 21-15, 10-21, 12-21 dalam satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini, iaitu pada Terbuka Korea, minggu lalu.
Sementara itu, cabaran dua lagi wakil Malaysia, Soniia Cheah dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dalam kejohanan bernilai AS$500,000 (RM2.07 juta) itu berakhir pemain tuan rumah.
Soniia akur 16-21, 19-21 kepada pemain No. 1 dunia, Tai Tzu-ying dalam perseorangan wanita, manakala beegu muda, Tang Jie-Yen Wei mempamer aksi bertenaga sebelum tumpas 21-12, 18-21, 12-21 kepada Yang Po-hsuan-Wu Ti-jung dalam beregu campuran. – UTUSAN ONLINE











