KOTA BHARU 6 Okt. – Penggerak pertubuhan belia yang sudah melepasi ‘umur’ diminta tidak mensia-siakan pengalaman mereka sebaliknya terus aktif berkhidmat dalam masyarakat.
Timbalan Presiden Alumni 4B Malaysia, Syed Azmi Syed Nazir berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan ramai dalam pertubuhan itu terutamanya mereka yang pernah terlibat dalam Pertubuhan Belia 4B.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat 25,000 ahli Alumni 4B di seluruh negara dengan bilangan tertinggi adalah dari Kelantan iaitu hampir 3,000 orang.
“Kita melakukan kerja-kerja kebajikan seperti melawat ahli-ahli yang sakit di samping tidak melupakan masyarakat yang memerlukan.
“Kita juga menganjurkan kegiatan sukan dan mengumpulkan ahli dari semasa ke semasa supaya silaturahim sentiasa terjalin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bubur Asyura Alumni 4B Kelantan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Alumni 4B Kelantan, Datuk Nik Mahidin Nik Mustapha.
Sementara itu, Nik Mahidin berkata, sebanyak 10 kawah bubur asyura dimasak oleh wakil dari seluruh daerah negeri ini dengan persiapan bermula sejak semalam lagi.
“Kita jangkakan lebih 1,000 bekas bubur asyura dapat diagihkan kepada ahli dan masyarakat setempat,” katanya. UTUSAN ONLINE









