KUALA LUMPUR 5 Okt. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengisytiharkan dirinya menang dalam Pemilihan PKR di Kelantan dan Terengganu yang diadakan serentak hari ini.
Menerusi status dalam akaun Twitter beliau, Rafizi mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli PKR di kedua-dua negeri tersebut.
Mengikut perkongsian oleh Rafizi dalam akaun media sosialnya itu, beliau menerima undi sebanyak 5,211 di Kelantan, berbanding lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memperoleh 4,922 undi.
Di Terengganu iaitu negeri kelahirannya, Rafizi mendapat 1,506 undi manakala Mohamed Azmin menerima 1,269 undi.
Bagaimanapun, berdasarkan perkiraan tersebut dan ditambah dengan keputusan undian di Pulau Pinang dan Johor, Mohamed Azmin masih mendahului Rafizi kira-kira 177 undi.- UTUSAN ONLINE.











