Enam jam bersihkan lumpur demi keselesaan penduduk - Utusan Malaysia

Enam jam bersihkan lumpur demi keselesaan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT 5 Okt. – Selama kira-kira enam jam, Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersengkang mata bagi membersihkan sebatang jalan raya di Bandar Saujana Putra di sini yang diselaputi lumpur akibat banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini, malam semalam.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A. Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat awam dan segera menggerakkan anggota Skuad Pantas bagi membersihkan lumpur di Jalan SP9/32.

“Setelah banjir surut, jalan raya dipenuhi lumpur. Dinding penahan lereng bukit di taman perumahan tersebut runtuh. Runtuhan tersebut menyebabkan air hujan yang mengalir masuk membawa sekali lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi yang bermula sekitar pukul 10 malam dengan kekuatan tujuh anggota Skuad Pantas, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah jentolak digunakan dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, selain itu, bagi memastikan operasi berjalan lancar, mereka turut dibantu tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang serta lima kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) MDKL.

Menurutnya, pada peringkat awal, Skuad Pantas dan JPSPKP MDKL menjalankan kerja-kerja membuang lumpur dibantu sebuah jentolak MDKL.

“Setelah selesai, anggota-anggota bomba pula melakukan penyiraman ke atas jalan raya bagi memastikan laluan tersebut bebas daripada lumpur yang boleh membahayakan pengguna di kawasan tersebut.

“Sehubungan itu, saya berharap agar penduduk di daerah ini sentiasa berhati-hati kerana pada ketika ini didapati cuaca dan hujan lebat tidak menentu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini