SHAH ALAM 5 Okt. – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) melantik lima orang wanita sebagai ketua kampung berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi negeri, Rodziah Ismail berkata, kelima-lima mereka merupakan sebahagian daripada 354 ketua kampung yang dilantik bagi tempoh 1 Oktober lalu sehingga 31 Disember 2020.
“Antara daerah yang mempunyai ketua kampung wanita ialah Hulu Selangor dan tiga lagi di Hulu Langat. Pelantikan ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri mengiktiraf golongan Hawa sebagai pemimpin masyarakat.
“Selaras keputusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar seperti mana diumumkan oleh Menterinya, Rina Mohd. Harun pada Jun lalu, istilah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan digantikan dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pengumuman pelantikan ketua kampung bagi Selangor di Seksyen 23 di sini, semalam.
Menurutnya, kesemua ketua kampung akan melantik seorang setiausaha dan 11 wakil biro menjadikan setiap MPKK mempunyai 13 ahli setiap kampung.
“Ketua kampung akan menerima elaun sebanyak RM500 daripada kerajaan Pusat dan RM700 daripada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri dan Pusat masing-masing akan memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada setiap kampung bagi penganjuran program bermanfaat dan mewujudkan keceriaan dalam komuniti,” ujarnya.
Beliau menambah, MMKN juga akan menubuhkan Biro Disiplin untuk memantau prestasi setiap ketua kampung. – UTUSAN ONLINE











