JPP PKR harus siasat dakwaan Rafizi - Utusan Malaysia

JPP PKR harus siasat dakwaan Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) diminta menyiasat dakwaan calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli bahawa terdapat desakan pihak tertentu meminta mengundi calon tertentu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, dakwaan Rafizi wajar disiasat bagi menentukan kesahihan agar pemilihan PKR yang sedang berlangsung kini dapat dijalankan dengan lebih telus. 

Beliau yang merupakan calon anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagaimanapun menyatakan sekiranya berkempen dan meminta undi bukan satu bentuk gangguan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau menganggu ini adalah mengugut, mendesak dan menggunakan kata-kata nista kepada mana-mana calon dan pengundi. 

“Saya anggap ini deraan yang patut diperhatikan dan pandangan Rafizi perlu disiasat dan dilihat apakah benar berlaku desakan-desakan kurang wajar terhadap mana-mana pemilih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Hi-Tea bersama pengamal media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Rafizi yang meminta JPP parti itu membatalkan keputusan pemilihan pusat cabang Labis berikutan terdapat campur tangan pengawas JPP yang mengundi bagi pihak anggota parti.

Sementara itu, dalam ucapan terhadap 200 pengamal media Selangor, Amirudin memberitahu, supaya media menjadi pelapor benar dengan laporan seimbang tanpa bebas daripada sebarang tekanan mana-mana pihak dalam era Malaysia Baharu ini. 

“Media harus menjadi agen seimbang yang bertindak sebagai sumber keempat untuk semak dan imbang selepas badan Eksekutif, Undang-Undang dan Kehakiman. 

“Saya sendiri tidak rasa langsung kecil hati terhadap laporan tidak memihak kepada saya dan kerajaan negeri dan budaya ini harus dikekalkan serta dikembangkan. 

“Malah, saya juga telah meminta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri menjawab sebarang persoalan yang ditimbulkan dan tidak menutupnya atau menghilangkan (diri) agar sesuatu laporan boleh diperbetulkan kalau tersilap dan boleh dijelaskan sekiranya terdapat salah pandang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini