Sindiket judi online tukar modus operandi - Utusan Malaysia

Sindiket judi online tukar modus operandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Sindiket perjudian online kini dikesan menggunakan modus operandi baharu iaitu dengan beroperasi secara mobil atau bertukar-tukar lokasi serta menggunakan peranti mudah alih agar sukar dikesan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud yang mendedahkan perkara tersebut memberitahu, tindakan licik tersebut berjaya dihidu pihaknya dalam satu serbuan di hadapan sebuah premis perniagaan dekat Taman Kinrara, Puchong di sini awal pagi tadi.

“Serbuan sekitar pukul 4.10 pagi itu dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang serta Balai Polis Bandar Kinrara dan berjaya menahan seramai lapan orang tahi judi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lapan lelaki tahi judi tersebut merupakan warga tempatan berusia di antara 40-an hingga 50-an dan kami turut merampas empat buah tablet dan sejumlah wang tunai berjumlah RM228 daripada kesemua suspek yang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd. Rosdi berkata, kesemua tangkapan serta rampasan kemudiannya dibawa balik ke IPD Serdang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Walau apa jua sekalipun bentuk modus operandi kegiatan judi online ini dijalankan, pihak IPD Serdang akan sentiasa mempertingkatkan usaha untuk membanteras kegiatan ini dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Kami akan memastikan kegiatan perjudian haram ini dapat dibanteras sepenuhnya,” tegas beliau. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini