KUALA LUMPUR – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$103.0 bilion (RM427.04 bilion) pada 28 September berbanding AS$103.9 bilion (RM430.77 bilion) pada 14 September 2018.
Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, paras rizab itu telah mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan nilai dolar AS berbanding pelbagai aset rizab mata wang asing yang dipegang bank pusat.
“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek,” kata bank pusat.
Penyumbang terbesar hutang luar negeri jangka pendek ialah institusi perbankan (69.3 peratus daripada hutang luar negeri jangka pendek), yang mencerminkan pemusatan pengurusan mudah tunai oleh institusi perbankan Malaysia yang beroperasi di rantau ini dan kehadiran banyak bank asing di Malaysia.
“Institusi-institusi perbankan ini memegang aset luaran yang besar (RM293.0 bilion) yang boleh digunakan untuk memenuhi obligasi luaran mereka tanpa perlu membuat tuntutan ke atas rizab antarabangsa BNM,” kata bank pusat.
Komponen utama rizab antarabangsa meliputi rizab mata wang asing sebanyak AS$97.3 bilion, kedudukan rizab Dana Kewangan Antarabangsa AS$900 juta (RM3731.40 juta), Hak Pengeluaran Khas SDR; AS$1.1 bilion (RM4.56 bilion); emas AS$1.5 bilion (RM6.22 bilion) dan aset rizab lain AS$2.2 bilion(RM9.12 bilion).
BNM berkata, aset lain termasuklah emas dan pertukaran asing serta rizab lain termasuk SDR (RM427.03 bilion); Kertas Kerajaan Malaysia (RM3.46 bilion); deposit dengan institusi kewangan (RM828.9 juta); pinjaman dan pendahuluan (RM7.07 bilion); tanah dan bangunan (RM4.18 bilion); dan aset lain (RM7.58 bilion).
Liabiliti merangkumi modal berbayar (RM100 juta); rizab(RM136.06 bilion); mata wang dalam edaran (RM103.89 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM173.24 bilion); deposit oleh Kerajaan Persekutuan (RM9.66 bilion); deposit lain (RM1.02 bilion); Kertas Bank Negara (RM15.37 bilion); peruntukan SDR (RM7.77 bilion); dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.03 bilion). – Bernama











