PUTRAJAYA 5 Okt. – Pelaksanaan penggunaan petrol RON95 EURO4M yang dijadual dilaksanakan pada 1 Oktober lalu telah ditangguhkan pada 1 Januari 2020.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan mendapat makluman bahawa syarikat minyak memerlukan masa yang lebih untuk membuat persediaan bagi memastikan bekalan petrol tersebut memenuhi keperluan pasaran di Malaysia tanpa memberi kesan kepada harga jualan runcit sedia ada.
“Langkah ini adalah untuk menjajarkan perubahan harga kos produk bagi petrol RON95 EURO4M mulai Julai 2019 dengan permulaan kerja-kerja transisi kepada produk petrol ini di peringkat depoh minyak dan stesen minyak selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga telah bersetuju supaya peralihan harga bagi produk petrol tersebut dibuat secara berperingkat selama enam bulan bermula Julai 2019 bagi mengurangkan impak perubahan harga kepada pengguna.
Katanya, kaedah tersebut juga dilihat lebih adil kepada pengguna kerana dalam tempoh transisi tersebut pembelian petrol RON95 masih belum memenuhi spesifikasi penuh EURO4M.- UTUSAN ONLINE











