KATHMANDU 4 Okt. – Kerajaan Nepal hari ini mengarahkan pihak berkuasa menyekat lebih 24,000 laman web lucah dan kumpulan aktivis menyifatkan tindakan tersebut sebagai bodah dan tidak berkesan.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk membendung keganasan seksual susulan tunjuk perasaan selepas tragedi seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang diperkosa dan dibunuh pada Julai lalu.
Pembunuhan kejam Nirmala Pant mencetuskan bantahan seluruh negara pada Ogos lalu, menyebabkan seorang maut dan puluhan lain cedera selepas kerajaan didakwa tidak mengambil langkah sewajarnya dalam menangani kes rogol.
Tambah membuatkan rakyat berang apabila pihak berkuasa menyifatkan bantahan itu sebagai satu konspirasi terhadap parti pemerintah.
Sebagai reaksi terhadap semua kritikan, operasi besar-besaran ke atas pornografi dan kandungan tidak bermoral diumumkan Jumaat lalu. – AFP











