KUALA TERENGGANU 4 Okt. – Kerajaan negeri memberi kebenaran selama seminggu lagi kepada kira-kira 40 peniaga tanpa lesen untuk terus berniaga di sepanjang kawasan tumpuan umum di pantai peranginan Batu Buruk di sini, sebelum mereka terpaksa berpindah ke lokasi baharu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, langkah bagi mengosongkan sekitar pinggir pantai daripada kegiatan niaga yang berselerak dalam usaha memastikan kawasan itu dalam keadaan terurus, bersih manakala lalu lintas lebih lancar.
“Ini melibatkan kawasan berhampiran Hotel Primula sehingga ke premis makanan segera (Restoran A&W). Kebenaran sementara diberikan bagi membolehkan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenai tempat baharu bagi mereka,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 80 peniaga berlesen dan tanpa lesen di pantai Batu Burok, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Penolong Pengarah Kanan Pelesenan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Tengku Suhaimi Tengku Abu Bakar.
Sebelum ini MBKT telah mengeluarkan notis kepada peniaga tanpa lesen di sepanjang pantai peranginan itu yang menegah mereka menjalankan perniagaan di situ mulai 1 Oktober lepas.
Satu tapak baharu telah disediakan iaitu di kawasan letak kereta di hadapan Kompleks Kolam Renang yang boleh menampung kira-kira 130 lot penjaja, namun mereka tidak begitu berminat.
Katanya, kerajaan prihatin dan memahami perniagaan itu adalah punca rezeki mereka, justeru tidak berniat untuk menghalang tetapi kawasan berkenaan tidak sesuai untuk menjalankan perniagaan kerana boleh memberi imej buruk kepada pengunjung.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri mencari tapak baharu untuk mengumpulkan mereka bagi menjalankan perniagaan pada satu tempat. Selain pemantuan dapat dilakukan, pengawalan kebersihan dan keselamatan juga dapat dijaga,: katanya. – UTUSAN ONLINE











