KUALA TERENGGANU 4 Okt. – Pemilihan kepemimpinan PKR bagi negeri ini akan berlangsung esok dengan kira-kira 60 peratus daripada 12,000 ahli yang layak dijangka akan keluar mengundi.
Ini kesempatan kepada mereka bagi memberi nafas baharu kepada parti itu yang tidak memenangi sebarang kerusi di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Perhatian pastinya lebih tertumpu di sini apabila Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR negeri dan salah seorang calon Naib Presiden apabila dicabar dalam pertandingan tiga penjuru.
Tiga lagi Ketua Cabang PKR yang akan mengekalkan jawatan difahamkan turut dicabar termasuk bekas calon PKR dalam PRU-14, Rahman Yusof (Dungun); Alias Yusof (Marang) dan Muzafeq Affyulzaifuzan Mamat (Kuala Nerus).
Sebanyak lapan pusat pengundian mengikut cabang parti disediakan yang akan dibuka mulai 9 pagi hingga 5 petang bagi ahli menentukan pilihan mereka.
Bagi Cabang Besut, pusat pengundian di Dewan Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja; Setiu (Dewan Majlis Daerah, Sungai Tarom); Kuala Nerus (Dewan Serbaguna Kampung Kelab Aya, Pulau Duyong); Kuala Terengganu (Dewan Seri Budi, Jalan Sultan Omar).
Di Marang (Dewan Orang Ramai Medan Jaya, Rusila); Hulu Terengganu (Dewan Homestay Kampung Buluh); Dungun (Dewan Rekreasi Kong Kee, Jalan Kelab MCA) dan Kemaman (Dewan Sivik Gong Limau. – UTUSAN ONLINE











