PORT DICKSON 4 Sept. – Datuk Seri Anwar Ibrahim sifatkan pentadbiran negara yang ditinggalkan Barisan Nasional sebagai sudah hancur.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Felda, Mara bahkan Tabung Haji hampir musnah dijarah penguasa tamak hinggakan rakyat diabaikan.
Kata Anwar, pentadbiran dahulu yang tidak berintegriti dan berlaku ketirisan di seluruh peringkat menyebabkan rakyat dan negara kerugian.
Beliau ketika berucap melancarkan e-Tuition khusus dibangunkan untuk pelajar Port Dickson oleh The Star, beliau berkata, kekayaan negara dirompak secara berleluasa dan terang terangan.
Mara contohnya tidak lagi berfungsi membantu bumiputera, katanya.
Bahkan Tabung Haji yang diwujudkan bagi memudah umat Islam menunaikan haji juga habis dipergunakan dan diselewengkan.
Katanya, ini menunjukkan sistem pendidikan dan dakwah semua agama gagal serta perlu dilihat semula.
“Bagaimana anak bangsa kita dididik?Bila diberi amanah mereka menyeleweng,” ujarnya.
Sehubungan itu Anwar yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson, berkata, apabila kembali ke Parlimen kelak, beliau akan membantu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memperbaiki pentadbiran dan sistem negara yang telah rosak teruk. – UTUSAN ONLINE











