RANTAU PANJANG 4 Okt. – Pemergian anggota bomba, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, yang maut bersama lima rakan setugas dalam tragedi di Puchong, semalam mengingatkan ibunya, Hanipah Mat Isa kepada soal ajal dan maut yang tiba tidak mengira tempat yang pernah diungkapkan mangsa suatu ketika dulu.
Hanipah, 56, berkata, selepas tamat latihan asas sebagai anggota bomba, anak keempat daripada sembilan beradik itu memberitahu hasratnya mahu menyertai pasukan elit payung terjun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikenali sebagai ‘Smoke Jumper’.
“Saya larang dan tidak merestui dia masuk pasukan payung terjun itu kerana bimbang keselamatannya. Takut kalau ada apa-apa kejadian buruk berlaku kepada dia ketika berada di udara.
“Arwah cuba pujuk saya dan kata, ajal dan maut di mana-mana sahaja, Mek. Tak semestinya di udara. Cuma nak sabit (penyebab) sahaja. Dia juga beritahu, borang pun dah isi tapi saya tetap tak restu. Jadi dia patuh dan batalkan hasrat itu.
“Apabila arwah meninggal akibat mati lemas di lombong ketika bertugas, memang saya teringat semula kata-kata itu dan reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga mereka di Kampung Lubuk Setol, di sini hari ini.
Menurut Hanipah, kali terakhir dia bertemu dengan Izatul Akma yang mesra dengan panggilan Kama ketika anaknya itu pulang ke kampung selama seminggu, iaitu ketika musim durian bulan lalu.
“Baru-baru ini, arwah menelefon saya bertanyakan khabar. Cuma saya perasan, dia tidak bercakap banyak dan ceria seperti biasa. Saya agak mungkin dia keletihan ketika itu dan tidak anggap pelik,” katanya.
Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, merupakan salah seorang enam anggota bomba yang lemas dalam tragedi air berpusar ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.
Lima lagi mangsa ialah Mohd. Fatah Hashim, 34; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25
Semua jenazah mangsa disembahyangkan di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Hanipah dalam pada itu berkata, dia dimaklumkan pegawai atasan anaknya bahawa Allahyarham dan lima anggota yang maut itu sememangnya sangat akrab dan mereka berenam sentiasa dilihat bersama, sama ada ketika bertugas atau di luar waktu kerja.
“Siapa sangka enam sahabat baik ini meninggal pun bersama-sama seolah-olah mereka memang tidak dapat dipisahkan,” katanya yang kelihatan sugul dan kepenatan kerana tidak tidur sejak malam tadi.
Jenazah Allahyarham Izatul Akma kini dalam perjalanan untuk dibawa ke kampung kelahirannya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubok Setol, di sini petang ini.
Lebih 200 hadirin termasuk anggota JBPM dan pasukan penyelamat lain memenuhi kawasan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. – UTUSAN ONLINE











