KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini menasihati rakyat di negara ini agar menganggap setiap hari sebagai suatu ‘bonus’ dan menghabiskan hari- hari tersebut dengan melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan juga orang lain.
Siti Hasmah, 92, berkata, setiap orang perlu sentiasa berterima kasih dan bersyukur kepada Yang Maha Berkuasa bagi kehidupan yang dikurniakan kepada mereka.
“Hari ini kita boleh buka mata setiap pagi* setiap pagi adalah bonus bagi kita… selagi Allah rahmati kita dengan bonus yang kita peroleh pada setiap pagi, ia bermakna kita ada lebih (masa) untuk melakukan perkara-perkara baik,” katanya semasa merasmikan Hari Warga Emas Sedunia 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini hari ini.
Beliau juga menarik perhatian hadirin terhadap pengorbanan enam penyelam Unit Penyelamat di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang maut semasa operasi mengesan seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik bekas lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.
“Satu lagi kumpulan individu yang jauh lebih muda daripada kita mengorbankan nyawa mereka untuk menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya sambil menyampaikan salam takziah kepada keluarga penyelam terbabit. – Bernama











