JERANTUT 4 Okt. – Penduduk di Bukit Dedari, Kuala Tahan dekat sini gempar dengan penemuan seekor harimau yang melintas jalan di kawasan berkenaan malam tadi.
Pemilik Danz Eco Resort Taman Negara, Rasdan Salleh, 43, berkata, dia bersama dua orang pekerjanya terserempak dengan haiwan itu kira-kira pukul 8.30 malam.
“Kami dalam perjalanan pulang dari Kuala Sat. Apabila tiba di Bukit Dedari, seekor harimau belang secara tiba-tiba muncul melintas jalan.
“Saya yang terkejut melihat harimau itu terus mengambil telefon bimbit untuk merakamnya sebagai bukti,” katanya, di sini hari ini.
Menurut Rasdan, dia tidak pasti sama ada harimau itu adalah haiwan sama dijumpai oleh empat lelaki beberapa hari lalu di laluan tersebut.
“Ini kali kedua saya melihat harimau secara ‘live’ depan mata dan kali pertama adalah pada 1992,” ujarnya.
Dia memberitahu, video enam saat yang dirakamnya menjadi tular dalam laman sosial setelah dia memuat naik di akaun Facebook miliknya.
Tambahnya, kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak Jabatan Peindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.
“Saya harap Perhilitan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan kerana bimbang dengan ancaman haiwan liar itu serta pemburu haram,” jelasnya.
Pada 29 September lalu, empat penduduk kampung turut melihat harimau sedang menyeberangi jalan di kawasan sama. – UTUSAN ONLINE











