Insiden ragut nyawa bomba, kerajaan wajar bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Insiden ragut nyawa bomba, kerajaan wajar bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL, Turki 4 Okt. – Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap insiden meragut enam nyawa anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, semalam.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, insiden yang menyedihkan itu tidak bolehlah dianggap remeh atau satu kemalangan dan selesai begitu sahaja.

Kata beliau, sebaliknya ia menuntut satu kajian mendalam oleh pihak-pihak berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya insiden itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) maka ia perlulah dikaji semula kerana sudah terbukti lemah.

“Kerajaan harus menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya yang terjadi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, seramai enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong berkenaan.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi akibat hujan lebat.

Empat daripada mangsa terkorban ialah anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Menurut Mohd. Asri, perkataan ‘sudah takdir’ hanyalah untuk pegangan jiwa bagi seorang individu mukmin antaranya dan Allah tetapi kerajaan perlu mencari ‘jawapan’ segera supaya perkara sama tidak berulang.

“Semoga Allah SWT memberi ganjaran besar atas pengorbanan mereka dan ditempatkan di dalam syurga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini