LAHAD DATU – Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), Orangutan Appeal UK (OAUK) yang terletak di London, United Kingdom memperuntukan lebih RM50,000 untuk menampung kos memindahkan seekor orang utan di Hutan Simpan Tabin di sini semalam.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, proses perpindahan itu melibatkan seekor orang utan jantan berusia 20 tahun daripada Pusat Rehabilitasi Orang Utan Sepilok di daerah Sandakan.
Augustine berkata, haiwan dengan gelaran Tiger itu diselamatkan JHL ketika berusia dua tahun di sekitar kawasan hutan daerah ini.
“Tiger menghabiskan usia hampir 18 tahun dibesarkan di pusat rehabilitasi.
“Ini termasuklah, menjalani rawatan di pusat tersebut selepas pasukan kami menyelamatkan Tiger ketika ia berusia dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Augustine, Hutan Simpan Tabin merupakan lokasi yang terbaik membebaskan Tiger dengan keluasan sebanyak 1,200 kilometer persegi.
Sementara itu, Pengasas OAUK, Sue Sheward pula memberitahu, tindakan memindahkan orang utan ke habitat asal merupakan kejayaan kerjasama pelbagai pihak.
Tambah beliau, hubungan baik antara Sabah dan United Kingdom diharapkan mampu meneruskan agenda menyelamatkan orang utan. – K! ONLINE











