KUALA LUMPUR 4 Okt. – Malaysian Relief Agency (MRA) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga enam anggota bomba dari unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang meninggal dunia sewaktu melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja yang dikhuatiri lemas di Puchong semalam.
Menurut Presiden MRA, Dr. Mohd Daud, kejadian yang berlaku di sebuah lombong Taman Putra Perdana, Selangor itu sangat menyayat hati kerana kesemua anggota penyelamat itu maut sewaktu melaksanakan tugas.
“Kejadian yang menimpa mangsa amat menyayat hati kerana keenam-enam anggota bomba yang terlibat terperangkap dalam pusaran air deras akibat hujan lebat di lokasi tersebut semasa menjalankan tugas.
“Tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selaku sebuah pasukan penyelamat sewaktu berlakunya kecemasan adalah amat sukar kerana pasukan ini sering terdedah kepada pelbagai situasi bahaya dan risiko luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MRA juga ingin menekankan mengenai kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung bahaya ketika berada di dalam air kerana secara purata sebanyak 590 kematian akibat lemas direkodkan dalam masa setahun.
Tambahnya, setiap orang perlu memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka tidak diabaikan sewaktu berada berhampiran kawasan yang berpotensi lemas.
“Rakyat Malaysia amat terhutang budi di atas jasa dan pengorbanan pegawai bomba yang telah terkorban sewaktu melaksanakan tugas. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya. UTUSAN ONLINE











