KUALA LUMPUR 4 Okt. – Kejadian maut yang mengorbankan enam anggota bomba malam tadi sedikit pun tidak melemahkan semangat pasukan mencari dan menyelamat meneruskan operasi.
Malah usaha itu turut diperkuatkan dengan skuad penyelam Pasukan Polis Marin (PPM) bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun yang hilang di kawasan lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini malam tadi.
Namun, hujan lebat yang turun pada tengah hari tadi telah menyebabkan paras air meningkat sementara arus bertambah deras.

Operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 12.45 tengah hari tadi kerana hujan lebat sebelum disambung semula pada pukul 2.30 petang.
Kawasan pencarian juga mula dipenuhi penduduk setempat yang ingin mengikuti operasi pencarian dengan lebih dekat lagi.

Sebanyak enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor maut selepas termasuk ke dalam pusaran air yang sangat deras akibat hujan lebat ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. – UTUSAN ONLINE











