GEORGE TOWN – Polis sekali lagi berjaya menumpaskan satu sindiket menyeludup dan mengedar dadah bernilai RM1.5 juta selepas menahan satu pasangan suami isteri dalam dua serbuan berasingan di negeri ini, Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 52 dan 44 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan mulai pukul 11.20 malam hingga 2.30 petang keesokannya.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Roslee Chik berkata, suspek lelaki diberkas bersama sejumlah dadah yang disembunyikan di dalam keretanya di tepi jalan berhampiran flat di Bukit Dumbar, Jelutong.
“Susulan tangkapan lelaki itu, polis kemudiannya telah membuat tangkapan ke atas isterinya di kediaman mereka di aras 15 flat yang sama.
“Di situ, kita menemui sejumlah dadah lagi disyaki jenis syabu, pil WY, heroin dan pil Eramin 5 yang disorok di dalam kabinet yang telah diubahsuai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini sebentar tadi.
Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah tiga pucuk pistol bersama 81 butir peluru hidup di dalam rumah pasangan terbabit. – K! ONLINE











