IPOH – Seramai 13 mangsa dari beberapa kampung dekat Gerik di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Aswad Asaris berkata mangsa yang dipindahkan ialah enam orang dari Kampung Padang Kunyit, lima orang di Kampung Ulu Kenderong manakala masing-masing seorang mangsa di Pekan Gerik dan kampung Bendang Kerajaan.
“Bomba menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat kira-kira jam 6.52 pagi tadi sebelum mengerakkan anggota ke beberapa kampung yang dinaiki air untuk menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, tujuh kampung di Gerik terjejas akibat banjir kilat iaitu Kampung Air Panas, Kampung Batu Hampar, Kampung Kolam Air, Kampung Ulu Kenderong, Kampung Tanjung Kala, Kampung Padang Kunyit dan Kampung Padang.
“Hujan lebat mulai pukul 2 pagi hingga 6 pagi tadi menyebabkan paras air naik dua hingga tiga kaki,” katanya sambil menambah paras air semakin menurun, namun pemantauan di kawasan banjir masih dijalankan. – Bernama











