PORT DICKSON 4 Okt. – Balu kepada salah seorang anggota bomba yang lemas dalam operasi menyelamat di Puchong, Selangor malam tadi reda dengan pemergian suaminya, Adnan Othman walaupun masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Norshamiza Salleh, 32, berkata, kejadian itu hanya diketahui kira-kira pukul 10.30 malam tadi selepas dihubungi rakan setugas Allahyarham.
“Suami saya memulakan tugas pada pukul 8 pagi dan sepatutnya habis pada pukul 8 malam, tetapi suami ada menghubungi saya pada pukul 7 malam dan beritahu ada operasi di Cyberjaya.
“Bila kawan suami menghubungi saya dan memberitahu ada masalah ketika operasi tersebut saya sebagai isteri mula rasa tidak sedap hati. Saya tak tahu nak cakap apa dan kejadian sudah berlaku. Saya terima pemergian suami dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Jaya, Lukut di sini, hari ni.
Allahyarham turut meninggalkan dua anak perempuan iaitu Aisyah Damia, 5, dan Alia Maisarah, 2. – UTUSAN ONLINE











