PORT DICKSON – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson menghadiri majlis pengebumian salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat di Tasik Putra Perdana, Puchong, Selangor petang semalam.
Mereka ialah calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar dan tiga calon Bebas masing-masing Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Mohd. Saiful Bukhari Azlan serta Kan Chee Yuen.
Isa Samad dilihat tiba di rumah keluarga mangsa, Adnan Othman, 33, di Taman Lukut Jaya dekat sini pada pukul 10.16 pagi, diikuti Mohd. Saiful Bukhari beberapa minit kemudian dan Chee Yuen serta Mohd. Nazari kira-kira pukul 11.30 pagi.
Jenazah Adnan yang bertugas sebagai anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di Shah Alam terlebih dahulu disembahyangkan di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 9 pagi ini sebelum tiba di rumah itu pada pukul 11.40 pagi.
Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Masjid Lukut yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah keluarganya untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat selepas solat zohor.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat tiba di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat pada pukul 1.50 petang semasa pengebumian jenazah mahu dilakukan.
Lebih 200 orang dianggarkan menghadiri majlis pengebumian itu termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis.
Adnan ditemui lemas bersama lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat lain sewaktu melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa yang dilaporkan hilang di Tasik Putra Perdana pada pukul 6 petang semalam. – K! ONLINE











