Anggota bomba lemas: Mangsa mohon maaf dalam panggilan terakhir kepada ibu - Utusan Malaysia

Anggota bomba lemas: Mangsa mohon maaf dalam panggilan terakhir kepada ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Permohonan maaf dan terima kasih atas kiriman nasi berlauk daripada ibu merupakan antara kata-kata yang diungkap Mohd. Fatah Hashim, 34, kepada kedua orang tuanya menerusi panggilan telefon terakhir daripadanya dua bulan lalu. 

Dalam panggilan daripada anak ke lima daripada tujuh beradik itu dia berulang kali memohon maaf kerana tidak dapat pulang beraya pada Aidiladha lalu.

Ibu kepada arwah, Sharifah Adzam Syed  Mohamad, 63, memberitahu, anaknya itu memang menanam minat untuk menjadi anggota bomba dan mula menyertai badan beruniform itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kali terakhir dia telefon, dia sangat suka dengan lauk yang saya kirimkan dan pada masa sama dia berulang kali minta maaf sebab tidak dapat pulang beraya.

“Saya tidak sangka itu merupakan kali terakhir saya mendengar suaranya sebelum dimaklumkan isteri anaknya bahawa dia hilang semasa dalam operasi mencari mangsa lemas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, selepas mendapat khabar itu, dia membuat solat hajat supaya anaknya segera ditemukan dan doanya termakbul selepas menantunya memberitahu mayat Mohd. Fatah telah ditemui kira-kira pukul 10.30 malam semalam.

Mohd. Fattah telah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota bomba dan mula ditempatkan di balai Seri Kembangan sebelum dipindahkan ke Pelabuhan Klang selepas menjadi anggota penyelam.

Arwah meninggalkan seorang balu, Nadia Kamaludin, 30-an, dan dua cahaya mata, Nur Medina Aisya, 2 tahun dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, 1 tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini