KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat keluar dari pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 12.30 tengah hari selepas selesai prosiding kes terhadapnya.
Najib dan isteri yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam dengan diiringi beberapa kenderaan kelihatan tenang dan sempat melambai ke arah penyokongnya yang telah tiba seawal 7 pagi.
Terdahulu, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.27 pagi bagi menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sementara Najib pula tiba kira-kira 10 minit kemudian bagi menjalani prosiding pengurusan kes untuk tiga pertuduhan melakukan pecah amanah di sini hari ini. – K! ONLINE












