KUANTAN 4 Okt. – Ibu kepada Mohd. Fatah Hashim, 34, sempat menunaikan solat hajat selepas dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi.
Sharifah Adzam Syed Mohamad, 63, berkata, kira-kira pukul 10 malam dia menerima panggilan telefon daripada menantunya, Nadia Kamaludin, 30-an, memaklumkan Allahyarham bersama lima anggota dipercayai lemas dalam tragedi pusaran air di lombong berkenaan.
“Saya terkejut dan menunaikan solat hajat agar anak segera ditemukan. Beberapa minit kemudian saya dimaklumkan mangsa dan anggota lain ditemukan namun meninggal dunia.
“Kali terakhir berjumpa ketika arwah balik bercuti sebelum Aidiladha Ogos lalu. Pada Aidiladha hanya isterinya pulang kerana arwah bertugas dan saya sempat kirimkan nasi berlauk kegemarannya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Baru Beserah di sini hari ini.
Mohd. Fatah salah seorang daripada enam anggota Bomba dan Penyelamat yang lemas dalam tragedi air berpusar ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di Taman Putra Perdana, Puchong malam tadi..
Semua jenazah disembahyangkan di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Selangor sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak
Mangsa lain adalah Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Menurut Sharifah Adzam, selepas menerima nasi berlauk itu, anak kelima daripada tujuh beradik berkenaan menghubunginya mengucapkan terima kasih dan memohon kemaafan kerana tidak dapat pulang.
“Saya pelik kerana arwah bersungguh-sungguh meminta maaf sedangkan sebelum ini dia sekadar melafazkan sekali sahaja.
“Arwah anak yang baik dan sering membantu keluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE











