Harapan, janji tidak cukup untuk bangunkan PD – Chee Yuen - Utusan Malaysia

Harapan, janji tidak cukup untuk bangunkan PD – Chee Yuen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 4 Okt. – Harapan dan janji yang ditaburkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dianggap belum mencukupi untuk meyakinkan pelabur baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

Calon Bebas, Kan Chee Yuen turut menyifatkan Port Dickson sebagai satu contoh klasik yang menyaksikan satu situasi di mana ramai pelabur dan ahli perniagaan sedang mengharungi masa yang sukar.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, usaha membangunkan kawasan Parlimen ini perlu diterajui oleh seorang profesional yang terbukti kecekapannya serta mampu memahami dan menterjemahkan agenda ekonomi strategik di peringkat makro.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, tokoh tersebut perlu bersikap praktikal dalam taktik perniagaan serta pendekatan di peringkat mikro,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chee Yuen menambah, usaha menjana pertumbuhan ekonomi perlu diselaraskan di peringkat setempat, negara dan antarabangsa.

Beliau percaya, perancangan ekonomi di peringkat setempat tidak akan berjaya jika perancangan strategik yang agresif tidak dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

“Perancangan ekonomi negara juga akan gagal jika perancangan ekonomi negeri dan tempatan serta sektor industri tidak diselaraskan dan dibiarkan dalam keadaan bercelaru,” jelasnya.

Di peringkat antarabangsa pula, kata Chee Yuen, Malaysia mesti menjadi sebahagian daripada komuniti global dan bukan berada di luarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini